...
| | WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Berita

Berita

Majlis Perasmian Pengisytiharan Pulau Perak Sebagai Titik Rujukan Paling Barat Malaysia Bagi Hitungan Kalendar Islam & Pelancaran Bulan Falak Kebangsaan 2022


Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah telah perkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Pengisytiharan Pulau Perak Sebagai Titik Rujukan Paling Barat Malaysia Bagi Hitungan Kalendar Islam pada 25 Zulhijah 1443H bersamaan 25 Julai 2022 bertempat di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Penganjuran majlis tersebut telah dijayakan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelidikan dan Jabatan Mufti Negeri Kedah. Majlis ini turut disiarkan secara langsung di Dewan Seri Mentaloon (Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar) di Alor Setar, Kedah Darul Aman. Hadir sama Menteri Besar Kedah; YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Haji Idris Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja; Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ketua Pengarah Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusuff,. SS Mufti Negeri Kedah Darul Aman; Dato' Paduka Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Ashabus Samahah Mufti dan Timbalan Mufti Negeri-Negeri, Panel Pakar Falak JAKIM, Ketua-ketua Jabatan Agensi Persekutuan dan Negeri, Pegawai-Pegawai Daerah dan perwakilan negeri-negeri. Pulau Perak yang terletak di Daerah Yan, Kedah Darul Aman merupakan penempatan paling barat Malaysia telah dipilih sebagai Titik Rujukan Paling Barat yang baharu bagi menggantikan titik tujukan sedia ada iaitu Tanjung Chinchin, Pulau Langkawi, Kedah Darul Aman dalam penyediaan kalendar Islam. Kalendar Islam Malaysia disediakan menggunakan Kaedah Rukyah dan Hisab berdasarkan Kriteria Imkanur Rukyah (kebolehnampakan hilal) berpandukan kepada hitungan data rukyah berkenaan kedudukan hilal dan matahari dan berkuatkuasa bermula tahun 2022 Masihi ( Muharam 1444H). Perubahan titik rujukan ini akan dapat membuka ruang dan mencipta peluang kepada para penyelidik dalam menjana kualiti penyelidikan ilmu Falak dan juga pembangunan sosio-ekonomi di Daerah Yan apabila muncul sebagai salah satu lokasi penting dalam perkembangan ilmu Falak di Malaysia Bersempena dengan Majlis Perasmian Pengisytiharan ini juga, Majlis Pelancaran Bulan Falak Kebangsaan Tahun 2022 di Dewan Seri Mentaloon di mana akan disambut sepanjang bulan Muharam (tahun baharu hijrah) bermula tahun 2021. Majlis yang mensasarkan penyertaan daripada pelbagai agensi antaranya pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Badan Berkanun dan Syarikat Swasta, pendidik dan pelajar serta masyarakat awam bertemakan Literasi Falak Untuk Keluarga Malaysia. Bulan Falak Kebangsaan (Malaysia) ini akan dijayakan bersama oleh pelbagai agensi berkaitan seperti Jabatan Mufti Negeri-Negeri, Persatuan-Persatuan Falak, Kelab-Kelab Falak, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan pelbagai program falak sepanjang bulan Muharam. Antaranya Cerapan Hilal Muharam 1444H Secara Langsung melalui facebook, khutbah jumaat falak, Quran Hour Ayat Kauniyah, Seminar / Forum / Bicara Falak secara fizikal dan online, Kuliah Falak di masjid surau dan lain-lain. Maklumat lanjut berkaitan boleh di dapati di portal falakmalaysia.com.
Diterbitkan pada : 2022-07-25